Kementerian Belia dan Sukan Sabah bersetuju agar temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 di Johor yang sepatutnya dijadualkan pada 11 hingga 19 Julai depan ditunda ke tahun depan.

Menterinya, Phoong Jin Zhe berkata, keputusan itu dimaklumkan kepada Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Seri Reezal Merican, dalam mesyuarat Jawatakuasa Tertinggi SUKMA bersama Exco-Exco negeri lain yang dibuat secara ‘video conferencing’, hari ini.

"Saya mewakili Sabah bersetuju bahawa SUKMA Johor 2020 ditangguhkan ke tahun depan 2021," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, sebentar tadi.

Phoong turut berkongsi pengalamannya bermesyuarat secara atas talian yang disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa.

"Adalah satu pengalaman yang agak luar biasa mengadakan mesyuarat ‘online’ ekoran perintah kawalan pergerakan bagi menyekat penularan wabak #Covid19," katanya.

Terdahulu, Phoong turut memberitahu seramai 350 hingga 400 atlet daripada Sabah akan bertanding di temasya yang sepatutya diadakan secara dwi tahunan itu.