Presiden Vladimir Putin menegaskan pihak berkuasa Russia tidak akan menghalang atlet negara berkenaan daripada bersaing di bawah bendera berkecuali dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Korea Selatan.

Lembaga Eksekutif Jawatakankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menggantung Jawatankuasa Olimpik Russia kelmarin selepas mengkaji penemuan Laporan Schmid, yang mengesahkan manipulasi dalam sistem peraturan dan anti-doping di Russia semasa temasya Olimpik 2014 di Sochi.

Walaupun atlet negara itu dibenarkan bertanding di Pyeongchang dengan tiket atlet berkecuali selepas mereka dibuktikan bersih, namun laporan mengaitkan Russia berhasrat untuk memboikot temasya itu.

Bagaimanapun, Putin, seperti yang dipetik oleh agensi berita TASS, berkata: "Kami tidak akan mengumumkan apa-apa sekatan dan tidak menghalang penyertaan atlet kami jika mereka memutuskan untuk mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik di bawah status berkecuali."

Putin menyatakan rasa simpati terhadap beberapa atlet yang terjejas, sambil menambah: "Saya juga berasa prihatin terhadap atlet, ramai yang saya kenali secara peribadi dan menganggap mereka sebagai kawan saya."

Temasya di Pyeongchang secara rasmi akan bermula pada 9 Februari depan.