Dua cabaran utama buat pelari pecut negara, Russel Alexander Nasir Taib, apabila bukan sahaja perlu memperbaiki catatan masa untuk menempah slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetapi juga berperang dengan kesuntukan waktu.

Ia misi yang dianggap mustahil memandangkan atlet berdarah kacukan Malaysia-Australia itu hanya mempunyai masa selama enam bulan sahaja lagi untuk mengesahkan penampilan sulungnya dalam Sukan Olimpik.

Tarikh akhir kelayakan untuk ke temasya itu adalah 29 Jun ini dan catatan yang perlu dilepasi adalah 20.24 saat bagi saingan pecut 200 meter manakala pemegang rekod kebangsaan itu pula mempunyai catatan terbaik 20.77s.

"Saya akan bersama skuad kebangsaan untuk beberapa minggu bagi meningkatkan lagi teknik larian sebelum kembali berlatih di Australia," kata Russel.

Kepulangan Russel ke tanah air adalah untuk berbincang dengan Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang baru, Dwayne Miller, tentang perancangannya yang mahu layak ke Sukan Olimpik Tokyo.

Namun, ia masih tertakluk kepada perancangan KOM mengenai senarai kejohanan yang bakal disertai atlet negara untuk tahun ini.

"Terdapat tiket wildcard, namun sebagai atlet, kami mahu berusaha untuk melayakkan diri secara merit dalam mana-mana kejohanan."



Editor: Ammar Hakim