Kem latihan Road to Tokyo (RTT) mendedahkan beberapa aspek yang masih boleh dipertingkatkan demi membantu atlet negara menghadapi Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Antaranya dengan menambah peralatan latihan.

Skuad terjun umpamanya memerlukan beberapa peralatan di gimnasium dalam menggalas misi memburu pingat emas temasya di Jepun menerusi Pandelela Rinong-Leong Mun Yee dalam acara 10m platform terjun seirama.

"Kalau ada satu lagi kem latihan dilaksanakan, kami harap untuk tambah baik kemudahan tertentu, contohnya sukan terjun.

"Ketika ini kami ada gimnasium dan kolam renang tetapi ia tidak sama seperti yang terdapat di luar negara seperti di China," kata Pengarah Bahagian Persediaan Atlet MSN, Jefri Ngadirin , ketika ditemu bual wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, hari ini.

Skuad terjun kerap berlatih di China sebelum menghadapi Kejohanan Dunia atau Sukan Olimpik berikutan peralatan di republik itu lebih canggih.

Temasya Olimpik Rio 2016 menyaksikan skuad terjun meraih perak dalam acara 10m platform terjun seirama menerusi Pandelela-Cheong Jun Hoong.