Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, baru pulih daripada kecederaan bahu, berhati-hati dalam menjalani rutin Program Road to Tokyo (RTT) yang memasuki minggu kedua.

Dhabitah menganggap keamatan latihan semakin berat, namun berwaspada bagi mengelak kecederaan boleh berulang.

"Sesi latihan kami terpulang kepada jurulatih tetapi kalau ada rutin yang kami tidak selesa, kami boleh berbincang.

"Tenaga pengajar di gimnasium akan beritahu perkara yang sama kerana ketika ini kami mengikuti peringkat bina kekuatan," katanya mengenai latihan di kluster RTT Bukit Jalil.

Dalam masa sama, penundaan Sukan Olimpik Tokyo ke musim panas tahun depan dianggap sebagai peluangnya dalam pemantapan terjunannya di bawah pemantauan Christian Brooker.

"Walaupun Sukan Olimpik 2021 ditunda setahun, tapi sasaran saya tetap sama, iaitu ingin menaiki podium.

"Tempoh itu sebenarnya masih belum mencukupi sebagai persiapan, malah semakin dekat kejohanan bermula, pasti akan terasa masih banyak lagi yang perlu dilakukan," tambahnya.

Dalam masa sama, ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, menganggap sebarang tindakan terburu-buru hanya akan membawa kemudaratan selain boleh menjejaskan misinya di Jepun.

"Saya cenderung untuk bermula secara berperingkat, saya tidak perlu terburu-buru.

"Saya gembira dapat bersaing semula tetapi saya mahu berada dalam persekitaran yang selamat. Saya mahu memastikan tubuh badan bersedia terlebih dahulu sebelum mencapai kemuncak persembahan.

"Sudah tentu misi utama saya adalah dalam Sukan Olimpik, saya mahu semuanya dalam kemuncak prestasi.

"Jadi saya merancang perkembangan yang berperingkat dan perlahan-lahan untuk kembalikan sentuhan sebenar dan di tahap kompetitif.

"Saya mahu memastikan semuanya dalam keadaan baik sebelum menyertai sebarang kejohanan," katanya.