Kem latihan program Road to Tokyo (RTT) berjaya mencapai objektif dalam membantu atlet negara meningkatkan semula prestasi mereka hingga 40 peratus.

Perkembangan positif itu menyaksikan ada jurulatih memohon untuk kem latihan, yang diperkenalkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat krisis COVID-19, tersebut diteruskan.

Selama 30 hari berada di pusat latihan, kesannya tetap ada biarpun tempoh yang diperuntukannya singkat.

"Ada persatuan yang mahu program ini diteruskan, badminton misalnya.

"RTT membuatkan atlet lebih fokus dan kalau tidak, kebiasaannya mereka mungkin akan keluar (mengisi masa terluang)," kata Pengarah Bahagian Persediaan Atlet Majlis Sukan Negeri (MSN), Jefri Ngadirin , ketika ditemu bual wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, di Bukit Jalil hari ini.

Secara keseluruhannya, seramai 203 individu termasuk atlet melaporkan diri di tiga pusat latihan di bawah RTT pada minggu pertama bulan ini.

Akademi Badminton Malaysia (ABM) menerima sembilan pemain manakala empat atlet pelayaran berkampung di Langkawi pada 1 Jun lalu.

"Berdasarkan latihan yang dibuat, mereka berjaya dapatkan kembali ke prestasi asal sebelum PKP.

"Ini adalah langkah permulaan sebagai persediaan mereka ke Sukan Olimpik," katanya lagi.

Sementara itu, pusat latihan di Bukit Jalil hanya menerima atlet bermula 8 Jun tetapi latihan di ketiga-tiga pangkalan berkenaan berjalan lancar.

Selepas berkampung di Majlis Sukan Negara (MSN), ABM dan juga Pusat Pelayaran Kebangsaan di Langkawi, atlet-atlet kini boleh kembali bersama keluarga masing-masing.