Jika kesukaran berlatih dan tiada pengesahan program latihan memberi keresahan kepada atlet yang memikul tanggungjawab dalam Program Road to Tokyo (RTT) sebelum ini, kelonggaran khas oleh kerajaan menerbitkan pandangan berbeza dalam kalangan atlet.

Beberapa atlet yang ditemui Astro Arena sudah tidak sabar lagi untuk kembali berlatih, tetapi ada juga yang agak berat hati memandangkan syarat ketat yang perlu dipatuhi termasuk tempoh 30 hari kuarantin.

Pemain beregu lelaki, Aaron Chia, meskipun berasa berbelah bahagian tetapi tetap akur dengan syarat yang ditentukan.

"Saya berasa tiada masalah walaupun di kuarantin selama 30 hari, saya sudah biasa. Ia seperti kami tinggal di asrama selama beberapa bulan bagi menghadapi kejohanan.

"Lagipun situasi ketika ini belum reda lagi," katanya,

Atlet pelayaran negara, Khairulnizam Affendy, pula perlu berbincang bersama jurulatihnya mengenai kelonggaran syarat itu memandangkan Langkawi disahkan sebagai zon hijau sambil atlet lain tidak mempunyai masalah untuk meneruskan latihan.

"Ini merupakan inisiatif yang bagus sebab sudah dua bulan lebih kami tidak dapat menjalani latihan.

"Kami dapat kejar semula apa yang telah tertinggal dan perbaikinya lagi.

"Kami perlu meminta sedikit kelonggaran lagi sebab berdasarkan pengumuman tadi, macam sama dengan kluster di Kuala Lumpur," kata Khairulnizam pula.

Penerjun negara, Leong Mun Yee: "Saya memang tertunggu-tunggu dengan pengumuman itu dan akhirnya kami dibenarkan untuk kembali berlatih 1 Jun depan, ia satu berita yang baik."

Beberapa persatuan sukan turut memberi pendapat mengenai garis panduan Program RTT yang bakal berlangsung selama sebulan dan rata-rata tiada masalah untuk berkompromi.

"Kami telah maklumkan kepada mereka mengenai bagaimana Prosedur operasi standard (SOP) ini akan dilaksanakan. Semua jurulatih dan pegawai akur," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chen, pula memberitahu: "Kami telah beritahu atlet bahawa sepanjang latihan, mereka akan dikuarantin selama 30 hari dan perlu bersetuju.

"Sekiranya tidak bersetuju, maka mereka terpaksa melupakan latihan ini."

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin, memberi penerangan lebih mendalam mengenai garis panduan latihan RTT.

"Mereka akan mendaftarkan diri pada 12 tengah hari 1 Jun depan selepas itu mereka akan menjalani ujian saringan yang akan dijalankan oleh hospital swasta, keputusannya akan diketahui dalam dua atau tiga hari.

"Secara umumnya, mereka akan jalani latihan bermula jam 7 hingga 10.30 bagi sesi pagi manakala sesi petang pula adalah pukul 3 hingga 6.30.

"Mereka yang terlibat akan terima surat tawaran dan perlu menyatakan persetujuan.

"Pada hari pendaftaran kelak, barulah kami dapat mengetahui jumlah sebenar mereka yang akan terlibat, katanya.