Penggiat sukan renang terutama atlet kebangsaan menerima khabar gembira apabila Kerajaan Malaysia membenarkan sektor sukan air membabitkan kolam renang untuk memulakan latihan memandangkan penularan wabak COVID-19 semakin reda.

Berita gembira itu bagaimanapun datang dengan prosedur operasi standard (SOP) seperti tanpa sentuhan fizikal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan ia akan berkuat kuasa Khamis depan di sebalik jangkaan asal, 1 Julai depan.

Pengumuman itu dibuat Menteri Kanan Keselamatan (MKN), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Putrajaya hari ini, ia termasuk aktiviti latihan renang seperti terjun dan menyelam.

Namun, beliau menegaskan setiap aktiviti itu perlu mengikut sesi yang ditetapkan dengan had jumlah tertentu atlet atau peserta berdasarkan kapasiti kolam selain SOP sektor sukan dan rekreasi haruslah dipatuhi.

"Ia sekali gus membuka ruang kepada atlet, akademi dan kelab termasuk kelas belajar yang terlibat dengan aktiviti renang menerusi SOP yang digariskan dengan langkah keselamatan agar tidak menyebabkan penularan COVID-19," kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, hari ini.

Kebenaran sektor sukan air beroperasi semula dan ia bermakna semua penggiat sukan renang di negara ini termasuk atlet negara perlu bersedia dengan norma baru.

Wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, sempat mendapatkan reaksi Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen, dan jurulatih renang kebangsaan, Chris Martin.

"Atlet perlu bersiap dari rumah lagi dan apabila sampai ke tempat latihan, mereka hanya perlu mengambil masa sekitar lima minit sebelum turun ke dalam kolam.

"Mereka hanya dibenarkan mandi di bahagian luar kolam sebelum pulang.

"Kami cuma belum tentukan kaedah untuk menerapkan sistem latihan yang melibatkan bilangan atlet dan dalam masa yang sama, mengamalkan penjarakan sosial tiga meter.

"Mereka akan bergilir-gilir melakukan renangan," kata Mae Chan.

Kebenaran itu juga membolehkan sekurang-kurangnya 10 lagi atlet renang negara lagi untuk
kembali berlatih bagi menyertai atlet lain dalam program Road to Tokyo (RTT).

"Terima kasih atas usaha gigih ASUM, Mae Chan yang membentangkan cara kami beroperasi dan akhirnya mendapatkan kelulusan," kata Martin pula.