Pemenang tunggal pingat emas taekwondo negara dalam kategori kyorugi Sukan SEA 2017, Rozaimi Rozali, muncul satu-satunya atlet negara yang dikekalkan dalam skuad elit selepas Kuala Lumpur 2017 dengan misi utama untuk meraih pingat Sukan Asia 2018 di Jakarta.

Situasi itu membuatkan Rozaimi berasa sedikit janggal kerana perlu berlatih bersama atlet-atlet pelapis dan walaupun berdepan sedikit kesukaran, dia tetap menghormati keputusan Taekwondo Malaysia (TM) yang mahu memberi tumpuan kepada masa depan atlet muda.

Apa yang penting, dia tidak mahu fokusnya memburu kilauan pingat dalam Sukan Asia terjejas, apatah lagi bakal meraih peluang pertama mewakili negara.

"Sekarang saya kurang bersemangat berbanding dengan pasukan sebelum ini tetapi saya cuba ikuti arahan jurulatih.

"Jika ada penambahan atlet, itu sudah cukup bagus untuk saya. Mungkin jurulatih akan minta saya untuk bergabung dengan pasukan pelapis," kata Rozaimi.

Salah seorang atlet pelapis yang terbabit, Iskandar Zulkanain Ahmad, yang merupakan pemenang perak dalam kategori 58 kilogram ke bawah, berasa gembira menjadi jadi salah seorang calon yang berpeluang ke Sukan Asia dan dia berharap akan terus diberi pendedahan bagi merapatkan jurang dengan atlet-atlet di peringkat antarabangsa.

"Pendedahan itu amat perlu kerana saya jarang ke luar negara. Kategori senior memang agak sukar.

"Sebelum ini, saya meraih pendedahan luas ketika beraksi di Korea. Mungkin tahun depan akan ada kejohanan-kejohanan besar untuk saya," ujar Iskandar.