"Latihan luar negara bukan jaminan cemerlang.”

Itu komen bekas ratu lompat bergalah negara, Roslinda Samsu, terhadap desakan menghantar raja pecut, Khairul Hafiz Jantan, berlatih di Amerika Syarikat dalam misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Filipina, tahun depan.

Banyak pihak mahu Khairul Hafiz segera dihantar berlatih di Amerika Syarikat ekoran kemunculan juara remaja dunia, Lalu Mohamad Zohri dari Indonesia.

Realitinya, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berdepan masalah dana, malah masih belum mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja dengan Majlis Sukan Negara (MSN).

Roslinda, yang pernah berguru di Sepanyol dan Jerman, berpendapat kem latihan luar negara untuk jangka masa panjang bukan jaminan lebih cemerlang.

"Dengan bajet yang tidak cukup, bagi saya berlatih di sini bersama jurulatih tempatan dan pergi menyertai pertandingan, itu lebih penting.

"Macam saya, memang menggunakan jurulatih Russia tetapi dia berada di Malaysia. Banyak pendedahan daripada pertandingan. Di Eropah, seminggu terdapat tiga kejohanan dan ia sangat kompetitif," kata Roslinda.

Prestasi Khairul Hafiz tidak menentu sejak merangkul emas Sukan SEA 2017 dengan catatan 10.38 saat.

Dia memecahkan rekod kebangsaan, 10.18 saat, pada 2016 tatkala ia menjadi pencapaian sama milik Lalu, tahun ini.