Ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abbas, meminta semua pihak memberikan masa kepada jurulatih lari jarak jauh, Samuel Kipsang Rono, untuk terus membentuk atlet harapan negara biarpun meraih pencapaian kurang memberangsangkan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Rono dibawa masuk pada Mac tahun lalu bagi memulihkan persembahan skuad pelari jarak jauh Malaysia yang tenggelam.

Namun, prestasi skuad kebangsaan dalam Sukan SEA tidak begitu membanggakan, dengan pencapaian terbaik adalah menerusi K. Prabudas yang memenangi perak dalam acara 5,000 meter.

Sehubungan itu, Zainal yang bertindak sebagai ketua jurulatih olahraga menegaskan skuad lari jarak jauh memerlukan masa lebih lama jika mahu melihat hasil yang mebanggakan.

"Atlet kita tidak dapat mengikut rentak yang ditetapkan jurulatih, Rono. Jadi, dia mengatakan memerlukan lebih masa untuk meningkatkan stamina atlet.

"Dua tahun di hadapan ini adalah tempoh untuk meningkatkan kecemerlangan mereka. Mungkin dalam Sukan SEA akan datang, mereka dapat mempamerkan prestasi yang lebih baik," katanya.

Dalam masa yang sama, perbincangan turut akan diadakan bagi mengenal pasti siapa pelari yang akan mengiringi raja pecut Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan, ke Jerman pada Februari depan.

Ia sebagai persediaan untuk menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast pada April 2018 dan Sukan Asia Indonesia pada Ogos 2018.

"Kita telah mengadakan mesyuarat dengan Program Podium untuk mendapatkan pandangan mereka tentang atlet yang mungkin dimasukkan dalam program itu.

"Berdasarkan itu, barulah kita akan tentukan atlet mana yang akan pergi ke mana dan apa yang mereka sertai," katanya.