Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, memberi jaminan Program 'Road to Tokyo' dengan kos hampir RM23 juta tidak terjejas di sebalik kemelut politik negara yang turut menyaksikan rombakan pemimpin dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Atlet dan jurulatih negara perlu kekal fokus dalam misi memburu pingat emas sulung Sukan Olimpik.

Program selama lapan bulan itu tidak akan terjejas kerana KBS sudah pun meluluskan bajet berkenaan, yang membabitkan sembilan persatuan sukan kebangsaan, dengan membiayai persediaan atlet negara.




MSN memberi jaminan kesemua program latihan dan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan berjalan seperti yang dirancangkan.

"Saya seperti rakyat Malaysia yang lain, masih menunggu (penyelesaian kemelut politik negara).

"Kita mempunyai organisasi yang akan tetap bekerja seperti biasa sementara atlet perlu meneruskan latihan bagi meraih pencapaian yang disasarkan.

"Oleh itu, kami akan bertugas seperti biasa," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, hari ini.

Pencapaian terbaik negara ialah dalam Sukan Olimpik Rio 2016 menerusi pungutan empat pingat perak dan satu gangsa.

Setakat ini, 10 atlet sudah layak secara merit dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menganggarkan seramai 23 hingga 36 atlet negara akan beraksi di Jepun.

"MOM sudah membuat persiapan buat pasukan dan pegawai yang akan ke sana.

"Kami akan teruskan perancangan tetapi saya berasakan tiada masalah untuk kami menghadapi Sukan Olimpik," kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib.