Usaha Malaysia untuk merangkul pingat emas pertama Sukan Olimpik Tokyo 2020 mendapat sokongan kerajaan Pakatan Harapan yang mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan, petang tadi.

"RM100 juta diperuntukkan untuk atlet bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan harapan membawa pulang pingat emas pertama negara.

"Kerajaan akan memperuntukkan RM10 juta untuk Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk membangunkan serta menggalakkan sukan elektronik (E-Sukan) sebagai industri yang diminati generasi muda yang melibatkan jurutera perisian dan pemaju permainan digital," umum Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Pengumuman itu adalah usaha Malaysia untuk merealisasikan impian merangkul pingat emas sulung Sukan Olimpik.

Cuma bagaimana mekanisme dan juga menerusi program apa dana ini akan disalurkan masih lagi perlu diperhalusi.

Dalam Sukan Olimpik Rio 2016, Malaysia meraih pungutan pingat terbaik dalam sejarah penyertaan temasya berkenaan dengan membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa.

Apapun, peruntukan itu mampu menjadi permulaan baik sebagai persiapan menuju ke temasya Tokyo 2020 yang hanya berbaki tidak sampai dua tahun lagi.