Pemenang pingat emas Paralimpik Rio, Ridzuan Puzi mempunyai misi penting pada 2017 apabila dia berhasrat untuk memecahkan rekod peribadinya, 12.01 saat, dalam acara pecut 100 meter T36.

Sasaran Ridzuan adalah 11.94 saat.

Dia mahu memecah rekod itu apabila kalendar olahraga Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) bakal membuka tirai Februari tahun hadapan.

Baginya, misi harus dilaksanakan tahun hadapan memandangkan di Rio, dia hanya melakar 12.07 saat, 0.06 saat daripada catatan peribadi yang dilakar dalam Sukan Para Asean di Singapura.

"Saya mahu melakukan catatan yang lebih baik, 11.94 saat. Saya mahu cuba melakukannya pada bulan Februari tahun hadapan ketika di Dubai," katanya.

Ridzuan juga amat berharap dapat menjalani latihan di luar negara seperti di Jerman bagi memperbaiki prestasinya.

Sebelum ke Rio, barisan atlet olahraga Paralimpik berangkat ke Jerman untuk menjalani latihan intensif dan percaturan itu ternyata membuahkan hasil.

"Sesi latihan berjalan dengan lancar, saya cuba untuk meningkatkan prestasi saya sedikit demi sedikit bermula pada bulan Februari ini."