Bekas jaguh karate negara, Ricky Leong Tze Wei, bakal menempuh cabaran baharu selepas dipikat Macau untuk menjadi jurulatih pasukan karate negara itu, tahun depan.

Dia yang baru dinobatkan sebagai Olahragawan Terbaik Sabah 2015/2016, semalam, berkata dia telah membuat keputusan untuk menerima tawaran itu dan akan memulakan tugasnya pada 1 Januari 2018.

"Keputusan ini dibuat selepas mendapat nasihat dan pandangan daripada bekas jurulatih yang menganggap saya mampu untuk melatih pasukan bertaraf kebangsaan.

"Walaupun masih baru sebagai jurulatih, saya yakin mampu melakukannya (melatih pasukan bertaraf kebangsaan) dan saya anggap ia cabaran baru dalam karier sukan karate," katanya ketika ditemui selepas majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah, di Kota Kinabalu, semalam.

Ricky berkata dia memulakan karier sebagai jurulatih pasukan karate Sabah pada 2016 selepas memutuskan untuk bersara daripada menyertai sebarang kejohanan.

"Kali terakhir saya bertanding ialah pada 2015 dan selepas itu saya diberi tanggungjawab untuk melatih pasukan karate Sabah.

"Saya ada juga menerima tawaran untuk menjadi jurulatih skuad pelapis Malaysia, namun saya memutuskan untuk memilih Macau kerana saya rasa itulah yang terbaik untuk saya," katanya.

Terdahulu, dia mengakui terkejut selepas dipilih sebagai Olahragawan Terbaik Sabah 2015/2016.

"Saya tidak sangka sekali lagi terpilih kerana saya hanya ada keputusan yang baik pada 2015.

"Bagaimanapun, saya sangat gembira dengan pencapaian ini, lebih-lebih lagi anugerah ini adalah yang ketiga berturut-turut bagi saya dan ia adalah yang terakhir," katanya.