Kadang-kala hanya sekadar sebaris ayat "Kamu ada masa depan cerah", sudah cukup untuk melahirkan atlet yang mampu menggegarkan dunia.

Ini cerita mengenai perenang para negara, Nur Syaiful Zulkifli, yang menukar segala kedukaan kepada satu kejayaan untuk menjadi perenang para pertama negara layak dalam empat acara berbeza Sukan Paralimpik Tokyo 2021.

Nur Syaiful mengalami kemalangan pada penghujung 2013 dan disahkan lumpuh akibat kecederaan 'spinal cord' di tulang belakang T12 dan N2 miliknya.

Selepas mengalami kecederaan itu, ibu-bapa Nur Syaiful memutuskan untuk membawanya ke pusat pemulihan di Samarahan, Sarawak.

"Di sana saya terjumpa seorang kawan berbangsa Iban dan dia bertanyakan kepada saya, 'tak mahu sertai sukan?'

"Saya berasa was-was kerana adakah atlet OKU (orang kelainan upaya) yang menyertai sukan?

"Saya tidak memandang sukan selain renang kerana saya suka berenang dan hobi saya banyak melibatkan air seperti memancing dan menjala," katanya.

Keinginan untuk menjadi atlet para negara mula memuncak pada tahun 2016 selepas Nur Syaiful menyaksikan Ridzuan Puzi memenangi pingat emas dalam Sukan Paralimpik Rio.

Ia secara tidak langsung mendorong keinginannya untuk terus berusaha.

Impian itu mula direalisasikan dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak pada tahun yang sama, di mana Nur Syaiful meraih satu pingat perak dan gangsa.

Ia turut didorong oleh kata-kata semangat daripada seorang jurulatih skuad renang para negara.

"Pada Disember 2016, saya menerima tawaran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menjadi atlet sepenuh masa.

"Ketika itu, ada jurulatih yang berkata saya mempunyai potensi untuk berjaya.

"Saya menjadi lebih bersemangat untuk berusaha dan mencapai cita-cita saya," tambahnya.

Pengalaman menjalani latihan di MSN tidak seindah yang disangka kerana persediaan mental dan fizikal sangat diperlukan.

Pada mulanya, Nur Syaiful hanya menjalani latihan secara biasa kerana kurang pengalaman.

Bimbingan daripada seorang jurulatih wanita yang sangat tegas amat membantunya untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan yang diperlukan.

"Dalam Sukan SEA KL (Kuala Lumpur) 2017, saya dapat mengejar peserta Vietnam, yang merupakan pemenang pingat perak di Rio.

"Catatan masa kami hanya dibezakan satu saat.

"Saya teruja kerana dapat menyaingi perenang itu dan mula menyasarkan untuk memperbaiki rekod catatan demi mencabar perenang lain," katanya lagi

Syaiful turut berkongsi sasaran utamanya dalam Olimpik Tokyo, di mana dia menyasarkan untuk meraih emas acara 50 meter gaya bebas.

Sebagai rekod, dalam Sukan Para Asia 2018, Nur Syaiful meraih pingat emas, sekali gus layak secara merit ke Tokyo.