Badminton dan renang adalah sukan paling banyak penyertaan dalam 40 peratus kuota peserta negara di Sukan Asia Pasifik Masters (APMG) 2018 yang akan berlangsung di Pulau Pinang dari 7 hingga 15 September depan.

Penganjuran kejohanan empat tahun sekali itu mendapat sambutan menggalakkan di mana penyertaan negara sudah pun melebihi 40 peratus keseluruhan.

Penyertaan itu wujud daripada mana-mana peserta yang berusia 30 tahun ke atas dan terbahagi kepada beberapa pecahan kategori mengikut umur.

"Buat masa ini, sebanyak 730 penyertaan telah diterima dan 60 peratus terdiri daripada peserta luar negara manakala bakinya adalah dari Malaysia. Yang paling banyak adalah renang dan badminton," kata Presiden APMG, Chong Eng.

Apa yang menarik dengan penganjuran APMG itu adalah pemilihan lokasi yang lebih menekankan keindahan tempat membabitkan negara penganjur sejak penganjuran kali pertama di Toronto, Kanada pada 1985.

Bagi Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, penganjuran seperti itu memberi gambaran sukan tidak terhad kepada sesetengah umur sahaja dan ia mampu berterusan dengan bersaing di peringkat tertinggi.

"Ia adalah terbuka buat semua yang berusia 30 tahun dan ke atas serta mahu terlibat dalam sukan," ujar Tunku Imran.