Renang: ASUM kecewa latihan tidak dibenarkan

Oleh Muzaffar Musa 8 Jun 2020 91
Renang: ASUM kecewa latihan tidak dibenarkan
Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) kecewa dan menganggap status sukan renang yang masih kekal sebagai aktiviti larangan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bermula Rabu ini sebagai tidak adil memandangkan kajian membuktikan bahawa sukan itu dikelaskan dalam kategori selamat.

Perasaan kecewa itu diluahkan Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chan, dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Kami sebenarnya amat kecewa dengan pengumuman semalam. Kami mengharapkan mereka faham mengenai struktur latihan sukan renang kerana konteks renang itu amat luas.

"Jika kita melihat aktiviti renang di tempat awam dan latihan renang, latihan renang bersifat individu di mana tiada langsung sentuhan.

"terdapat banyak kajian dan fakta yang menunjukkan bahawa ia sebenarnya adalah sukan yang amat selamat untuk bermula kembali," katanya.

Larangan itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Ia menyaksikan renang termasuk dalam kategori sukan yang masih tidak dibenarkan selain sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki.

Mengulas mengenai tindakan lanjut ASUM mengenai perkara berkenaan dan perancangan persatuan itu terhadap perenang negara, Mae Chan menambah: "Kebanyakan atlet menjalani latihan dalam talian bersama jurulatih masing-masing.

"Kami hanya mahu mereka terus bersabar kerana kami sedang melakukan sesuatu dan akan menyiapkan dokumen untuk dihantar kepada Kementerian Kesihatan agar mereka dapat memahami sukan ini dan harap-harap mereka akan membenarkannya."

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen