Jaguh lontar peluru negara, Adi Alifuddin Hussin, perlu berwaspada apabila ikon Paralimpik Malaysia, Ziyad Zolkefli, menjadikan rekod kebangsaan milik Adi sebagai buruan peribadi.

Adi memegang rekod kebangsaan menerusi lontaran menakjubkan ketika Sukan SEA 2011 di Indonesia menerusi catatan 17.54 meter.

Di sebalik kejayaan menawan pentas tertinggi Paralimpik di Rio serta memegang rekod dunia Paralimpik kategori F20 dengan catatan 16.84m, Ziyad akur masih banyak lagi yang perlu diperbaiki.

Ziyad dan jurulatihnya, Faizol Haron, perlu mencari ikhtiar untuk memastikan anak buahnya itu melakukan lontaran lebih konsisten setaraf dengan catatan peribadi terbaik 17.12 meter.

“Selain menawan Sukan Paralimpik, memecah rekod kebangsaan merupakan sasaran saya yang seterusnya,” kata Ziyad.

Dalam menikmati waktu rehat penghujung musim di samping menanti majlis pernikahan pada November, Ziyad tetap memberikan jaminan akan kembali memberi tumpuan terhadap kemahuan untuk layak ke Sukan SEA 2017 secara merit.

“Teknik serta berat badan harus dipertingkatkan untuk memberikan lonjakan serta tenaga ketika membuat lontaran,” katanya.