Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, tidak mahu kecundang awal dalam Kejohanan Terbuka Hong Kong selepas tersingkir dalam aksi pusingan ketiga Terbuka Amerika Syarikat, bulan lalu.

Nicol terpaksa akur dengan kekalahan di tangan pemain England, Laura Massaro, dalam kejohanan itu.

Pemain nombor 10 dunia itu menyifatkan faktor keletihan disebabkan jadual padat dengan mengharungi empat kejohanan selepas Sukan Asia 2018 sedikit-sebanyak menjejaskan aksinya.

Kini, tiada lagi alasan untuk Nicol kembali bangkit memburu kejuaraan selepas menjalani tempoh rehat lebih sebulan sebelum memulakan latihan di Malaysia sejak minggu lalu.

"Saya menjalani waktu rehat selepas Terbuka Amerika Syarikat bagi menghilangkan keletihan mental dan fizikal.

"Kini saya dalam keinginan tinggi untuk memburu kejuaraan," katanya.

Dalam pada itu, pemain muda, S. Sivasangari, tidak ketinggalan mengambil peluang melakukan persediaan ke Hong Kong dengan melakukan latihan bersama Nicol.

Dia bakal mengharungi cabaran pusingan pertama berdepan pemain di ranking ke-20 dunia, Hania El Hammamy dari Mesir.

"Saya sentiasa gembira untuk berlatih bersama Nicol.

"Dia seorang legenda dalam sukan skuasy.

"Saya amat gembira kerana dapat menjalani latihan seperti itu," katanya.