Habuan RM10,000 dan gelaran Raja Sungai akan menjadi rebutan dalam temasya sukan air popular, Regata Sarawak 2017, yang akan berlangsung dari 10 hingga 19 November ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata acara itu akan dimulakan dengan perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa yang berlangsung dari 10 hingga 12 November.

"Sebanyak 21 pasukan telah mengesahkan penyertaan dan ia termasuk wakil-wakil luar negara.

"Ini termasuk dari Australia, Brunei Darussalam, China, Hong Kong, India, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand.

"Ia merupakan penyertaan antarabangsa paling besar dalam sejarah pertandingan ini,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penganjuran hari ini.

Acara kemuncak, iaitu segmen regata, akan berlangsung dari 17 hingga 19 November, dengan tawaran hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM240,000 untuk pelbagai kategori.

Selain dua acara utama tersebut, katanya, pelbagai pengisian lain turut diadakan seperti jualan makanan, jualan kraf, pertandingan karaoke, Regata Sarawak Idol dan persembahan buskers.

“Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dijangka merasmikan Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa pada 11 November sebelum merasmikan Regata Sarawak pada 18 November," ujarnya.

Regata Sarawak 2017 berjaya menarik sumbangan penajaan berjumlah RM1 juta daripada pelbagai sektor kerajaan dan swasta.

Antara penaja utamanya ialah Petronas, Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Petra Energy Berhad, Cahaya Mata Sarawak, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka), Samling Group of Companies dan JX Nippon.