Rayzam Shah, Fatin Nurfatehah Olahragawan, Olahragawati Sabah

Oleh Willie Jude 23 Oktober 2019 564
Rayzam Shah, Fatin Nurfatehah Olahragawan, Olahragawati Sabah
Jaguh olahraga, Rayzam Shah Wan Sofian, dan atlet memanah, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, dinobat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sabah dalam Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2017-18 di Kota Kinabalu, malam tadi. 

Rayzam Shah, 31, merupakan atlet acara 110 meter lari berpagar yang pernah meraih pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Selain itu, atlet yang berasal dari Keningau itu turut memecahkan rekod kebangsaan dengan memadamkan rekod 23 tahun acara berkenaan dalam Kejohanan Kurpfalz Gala di Jerman pada tahun yang sama.

Sementara itu, Fatin Nurfatehah memenangi dua pingat emas dan satu perak dalam Sukan SEA 2017.

Dia juga menduduki ranking keempat acara individu dalam Piala Asia serta menyertai Piala Dunia Memanah Peringkat 2 di Shanghai, China dan Sukan Asia di Jakarta tahun lalu.

Rayzam Shah dan Fatin Nurfatehah menerima trofi berkenaan daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Terdahulu, dua atlet olahraga, Eddy Bernard dan Doriah Paulus, dinamakan Olahragawan dan Olahragawati Para.

Anugerah berpasukan lelaki dan wanita terbaik pula masing-masing menjadi milik skuad hoki lelaki dan pasukan sepak takraw wanita Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018.

Dalam pada itu, atlet terjun, Gabriel Gilbert Daim, menerima anugerah Olahragawan Harapan Lelaki manakala Nor Farah Mazlan (pencak silat) dinobatkan Olahragawati Harapan Wanita.

Jurulatih muay thai Sabah, Cyrille Dhillon Tahing, menerima Anugerah Jurulatih Terbaik manakala Anugerah Persatuan Terbaik disandang Persatuan Gimnastik Negeri Sabah.

Presiden Persatuan Muaythai Malaysia, Nazri Ab Razak, dinamakan sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Sukan manakala Presiden Persekutuan Shorinji Kempo Malaysia, David Wang Chung Vun, dinamakan sebagai Tokoh Sukan Sabah.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe.

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen