Rayzam Shah berdepan kekangan kembalikan tahap terbaik 

Oleh Shaiful Shamsudin 30 September 2020 41
 Rayzam Shah berdepan kekangan kembalikan tahap terbaik 
Jaguh 110 meter lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian, mengakui berdepan sedikit kekangan untuk menjalani latihan sempurna akibat peningkatan kes COVID-19 di Sabah.

Bagaimanapun, Rayzam Shah sedang berbincang dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah bagi memudahkan prosedur latihan buatnya termasuk atlet yang lain.

Dia tidak mampu menjalani latihan secara sempurna disebabkan kekurangan peralatan gimnasium bagi membantunya kembali ke tahap terbaik.

"Lokasi gimnasium yang saya gunakan di Likas sedang digunakan untuk rawatan pesakit-pesakit COVID-19. 

"Jadi sukar untuk saya dan atlet Sukma (Sukan Malaysia) memandangkan kemudahan gimnasium di sini adalah terhad. 

"Sebelum ini saya berkesempatan menggunakan peralatan MSN Sabah yang membenarkan ia dibawa ke trek," katanya ketika dihubungi. 




Rayzam Shah menegaskan tetap akan berpangkalan di sana dan tidak akan turun berlatih di Kuala Lumpur walaupun kes pandemik berkenaan semakin meningkat di Sabah demi melunaskan tanggungjawab terhadap keluarga.

Menjelang Kejohanan Olahraga di Perak bulan depan, Rayzam masih tidak dapat membuat keputusan sama ada akan menyertai kejohanan itu akibat situasi terkini yang dihadapi oleh Sabah.

"Saya masih 50-50, saya kenal tubuh sendiri jadi saya mungkin mencatatkan larian sekitar 14 saat, tidaklah pantas sangat. 

"Kalau saya pergi, misi awal saya ialah cuba mendapatkan rentak. 

"Saya tidak mahu fikir soal menang atau kalah dan kalau tewas sekalipun, tidak mengapa. 

"Biar pelapis-pelapis saya selepas ini bertambah semangat (dengan kejayaan mereka)".
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen