Pelari pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, ibarat "jatuh ditimpa tangga" apabila bukan sahaja terpaksa menangguhkan perkahwinannya pada 30 Mei lalu, malah perlu menunggu giliran untuk menjalani pembedahan anterior cruciate ligament (ACL).

Rati pecut negara itu sepatutnya melangsungkan perkahwinan Sabtu lalu tetapi masalah peribadi yang dihadapinya serta pandemik Covid-19 menyaksikan niatnya itu terpaksa ditunda ke Ogos depan.

Atlet kelahiran Pulau Pinang itu juga bertarung dengan kecederaan lutut sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu.

"Disebabkan masalah peribadi yang tidak dapat diselesaikan seperti temuduga bersama pihak tentera, saya tidak sempat untuk melakukan persiapan (perkahwinan) dan ia terpaksa ditunda," katanya dalam satu perbualan video bersama wartawan Nadi Arena, Haliza Hamzah.

"Saya tak naklah akad nikah melalui dalam talian sebab adik-beradik saya hanya dua orang."

Kini, Zaidatul Husniah hanya mahu memanfaatkan masa yang ada untuk melakukan pemulihan dan akan menjalani pembedahan di lutut kanannya dalam masa terdekat.

Harapannya agar mimpi buruk itu dapat segera berakhir untuk kembali merebut tempat ke Sukan SEA Vietnam tahun depan.

"Insya-Allah, saya akan cuba mempercepatkan pembedahan ini sebab saya perlu menentukan masa yang sesuai untuk menjalaninya.

"Sekarang ada masa lagi kerana kita masih dalam tempoh PKPB (perintah kawalan pergerakan bersyarat), jadi saya rasa sempat untuk pulih," katanya.