Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, menggesa persatuan sukan kebangsaan merangka pelan jangka panjang, bukannya sekadar menumpukan kepada Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebagai sasaran utama.

Kontinjen negara mempamerkan aksi paling cemerlang sepanjang penyertaan di temasya itu apabila meraih empat pingat perak dan satu gangsa di Rio, Ogos lalu.

Kini, sudah pasti pencapaian itu perlu dikekalkan dengan satu perancangan rapi perlu dilakukan untuk menghadapi edisi berikutnya di Tokyo empat tahun lagi.

Begitupun, Tunku Imran berharap semua persatuan sukan turut memastikan ada kesinambungan agar atlet yang tersenarai nanti mampu membawa cabaran pada edisi 2024.

"Saya berasakan perkara yang penting ialah untuk mencari atlet yang bakal ke Olimpik 2024," katanya.

"Semua persatuan sukan sepatutnya sudah mula mengenali siapakah atlet terbaik yang boleh beraksi di Tokyo dan mempersiapkan atlet yang mereka percaya itu mampu untuk ke Olimpik 2024."

Tunku Imran berkata demikian ketika majlis penyerahan insentif oleh Sports Toto Malaysia Sdn Bhd kepada atlet negara yang meraih pingat di Rio.

Diketuai jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, atlet yang memenangi pingat perak masing-masing menerima RM10,000, manakala RM5,000 buat pemenang pingat gangsa.

Hadir sama chef-de-mission kontinjen negara untuk Olimpik Rio, Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid.

Ketika diminta mengulas mengenai temasya akan datang, Al Amin menolak kemungkinan andai beliau sekali lagi diberi tugasan untuk mengetuai kontinjen negara.

"Saya telah melakukan bahagian saya. Saya telah diberi peluang, seperti saya katakan, ia merupakan pencapaian peribadi terbaik saya, juga pengalaman seumur hidup.

"Tetapi saya fikir mereka perlu mempertimbangkan untuk mendapatkan chef-de-mission yang baru. Dia boleh melakukan lebih baik daripada saya dan mungkin mendapat keputusan yang lebih baik dalam Olimpik akan datang," katanya.