Rahmah beri bayangan undur diri dalam Kejohanan Dunia

Oleh Staff Writer 8 Disember 2016 4
Rahmah beri bayangan undur diri dalam Kejohanan Dunia
Pesilat wanita negara, Siti Rahmah Mohd Nasir, menganggap Bali mungkin menjadi Kejohanan Pencak Silat Dunia terakhir untuk dirinya selepas mencapai matlamat meraih gelaran hatrik dalam kejohanan itu.

Atlet berusia 29 tahun itu berkata, sudah tiba masanya untuk dia mengundur diri dari menyertai Kejohanan Dunia dan ingin memberi peluang kepada wakil negara lain.

Apatah lagi, impian utama untuk meraih kejuaraan hatrik telah pun dicapai dan ia sudah memadai buat dirinya.

Katanya, hanya tinggal misi dalam Sukan Sea 2017 dan Sukan Asia 2018 yang mahu dilaksanakan sebelum mengambil keputusan berehat sepenuhnya.

"Selagi saya boleh buat, saya akan buat. Nanti kalau saya sudah tidak bagus, saya akan berhenti. Tetapi perancangan saya adalah (kejayaan) Kejohanan Dunia, Sukan Sea dan Sukan Asia.

"Dengan ini, tertunailah hajat saya kerana saya sudah merancang bahawa ini adalah penyertaan (Kejohanan Dunia) saya yang terakhir," katanya.

Juara bertahan itu menganggap aksi final hari ini ketika berdepan pencabar dari Vietnam, Nguyen Thi Yen, sebelum menang 5-0, cukup mendebarkan.

Sedikit kesilapan mampu meleburkan hasratnya untuk bergelar juara, bagaimanapun, dia berjaya menguasai seluruh perlawanan dengan begitu cemerlang di Gelanggang Olahraga Lila Bhuana, Bali.

"Saya buat kali ini untuk emak saya dan pasukan Malaysia. Kita nak emaskan? Memang mesti kena buat. Semua benda saya berlawan untuk emak saya," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen