Penyertaan sulung pasukan dari Iran, Pishgaman Giant, dalam saingan Jelajah Malaysia 2016 menyaksikan pelumbanya, Rahim Emami, menjuarai peringkat pertama dari Dataran Merdeka ke Ipoh, hari ini.

Peringkat pertama perlumbaan yang meliputi jarak sejauh 206.6km diharungi pelumba menuju ke Meru Raya, Ipoh, dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, diberi penghormatan untuk melepaskan pelumba tepat jam 10 pagi di Dataran Merdeka.

Ketiadaan satu lagi pasukan dari Iran, Tabriz Petrochemical, menyaksikan Pishgaman menjadi pilihan dengan satu kawasan pendakian serta tiga zon pecutan menanti pelumba.

Pelumba Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG), Harif Salleh, berjaya mengumpul mata apabila mengungguli zon pecutan pertama di Serendah.

Saingan semakin rancak selepas itu dengan Pishgaman cuba mengatur strategi untuk menjarakkan kedudukan.

Berbaki 5km, usaha Rahim membuahkan hasil apabila melintasi garisan penamat selaku juara dengan catatan 4 jam 44 minit dan 5 saat.

Dua pelumba 7 Eleven-Sava RBP, Rustom Lim dan Edgar Nohales Nieto, masing-masing di kedudukan kedua serta ketiga.

Seorang lagi pelumba TSG, Nur Amirul Fakhruddin, muncul pelumba terbaik tempatan selepas menamatkan saingan di tempat keempat untuk menyarung jersi merah.

"Kami baru tiba tengah hari semalam dan masih belum mendapat rehat yang mencukupi. Kami sedikit kepenatan tetapi kami berjaya untuk mengawal perlumbaan hari ini untuk memenanginya," kata Rahim.

Jelajah Malaysia 2016 yang disertai 16 pasukan rantau Asia Pasifik meliputi lima peringkat sepanjang 750.2km di Semenanjung Malaysia.

Laluan Jelajah Malaysia 2016

Peringkat 1, 18 Okt: Kuala Lumpur – Ipoh (206.6km)
Peringkat 2, 19 Okt : Infoternak Sungai Siput – Brinchang (108.7km)
Peringkat 3, 20 Okt : Gua Musang – Pasir Puteh (163km)
Peringkat 4, 21 Okt : Machang – Gong Badak (124.8km)
Peringkat 5, 22 Okt : Kemaman – Kuala Terengganu (147.1km)