Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Mersing menyekat hasrat tuan rumah, Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), untuk muncul juara Kejohanan Ragbi SESMA 7s di Stadium Mini Gong Badak, semalam.

Wakil Johor itu nyata terlalu handal untuk disaingi selepas menang mudah 33-0 dalam aksi final kategori utama bawah 16 tahun (B-16).

Selaku juara, SMK Sri Mersing membawa pulang trofi manakala pemain tonggaknya, Nur Iman Mahmod, pula diumum pemain terbaik perlawanan.

Sementara itu, SMK Tun Hussein Onn turut mencuri tumpuan bergelar juara B-15 serta B-14 susulan kemenangan ke atas SESMA dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Batu Rakit.

Sebanyak 45 pasukan daripada 35 sekolah di Terengganu, Pahang, Kelantan, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur mengambil bahagian dalam kejohanan dua hari itu.

Turut dipertandingkan acara perempuan touch B-16 yang dimenangi SMK Sultan Sulaiman selepas mengalahkan Sekolah Menengah Sains Machang.

Juara B-14 pula menjadi milik Kebangsaan (SK) Pauh 5 manakala SBPI Batu Rakit di kedudukan kedua.