JEPUN 30 RUSSIA 10

Tuan rumah, Jepun, yang juga merupakan wakil tunggal Asia, membuka tirai saingan Kejohanan Ragbi Piala Dunia 2019 dengan menundukkan Russia 30-10 menerusi persembahan terpuji pemain sayap, Kotaro Matsushima, yang melakukan hatrik.


Aksi di Stadium Antarabangsa Yokohama, sebentar tadi, dipenuhi penyokong tuan rumah tetapi mereka dikejutkan dengan 'try' pertama daripada Russia.

Kiril Golos Mitski berjaya melakukan 'try' walaupun Jepun cuba menutup segala ruang sambil Yuri Kushnarev pula melengkapkan 'conversion' untuk mendahului 7-0.

Usaha Jepun untuk meloloskan diri di bahagian pertahanan Russia berhasil apabila Matsushima bijak menerima umpanan sebelum dia melakukan 'try' pada minit ke-11.

Matsushima sekali lagi melakukan 'try' pada minit ke-38, disusuli conversion Yu Tamura.

Jepun semakin agresif sejurus babak kedua bersambung dan memperoleh penalti yang disempurnakan Tamura, disusuli 'try' Peter Labush Caney.

Russia yang tertekan kemudian meraih penalti pada minit ke-60 yang disempurnakan Kushnarev.

Selepas itu, bermulalah ledakan bertubi-tubi Jepun dengan Tamura menyempurnakan penalti keduanya manakala Matsushima melengkapkan 'try' ketiga peribadinya pada minit ke-68 sebelum dilengkapi conversion Rikiya Matsuda.