Lawrence Dallaglio berpandangan England berhak untuk diletakkan sebagai pilihan untuk saingan Piala Dunia Ragbi.

Skuad kendalian Eddie Jones itu, bersama-sama Ireland, juara Grand Slam Enam Negara, Wales, dan pemenang Kejohanan Ragbi, Afrika Selatan, merupakan antara pasukan yang bakal mencabar penyandang juara dunia, New Zealand, dalam kejohanan yang sedang berlangsung di Jepun itu.

England tersingkir awal dalam saingan Piala Dunia 2015 tetapi meletakkan sasaran untuk memperbaiki kesilapan itu kali ini.

Mereka akan memulakan kempen berdepan Tonga esok, sebelum menghadapi Amerika Syarikat, Argentina dan Perancis.

Dallaglio menjulang Piala Webb Ellis pada 2003 dan melihat tiada alasan buat England untuk tidak berusaha bergelar juara dunia sekali lagi .

"Meletakkan sasaran yang tinggi," kata bekas kapten England itu kepada Omnisport.

"Jangkaan serta sasaran sentiasa ada untuk England dalam semua sukan.

"Saya berasakan perkembangan England di bawah pimpinan Jones bermula dari 2015 ketika beliau memberitahu kami kekurangan pemain bertaraf dunia.

"Tetapi selepas empat tahun, England kini memiliki skuad yang berkualiti dan mampu menjuarai grand slam, mereka telah memenangi beberapa gelaran di pentas domestik dan Eropah. Jadi, saya berasakan mereka sepatutnya dilihat sebagai pencabar utama di Jepun.

"Mereka memiliki kemampuan untuk menewaskan mana-mana pasukan selepas apa yang dipamerkan di Dublin dalam saingan Enam Negara, separuh masa pertama berdepan New Zealand dan beberapa perlawanan sebelum ini berdepan Ireland.

"England adalah pasukan pilihan, mereka mampu mencabar New Zealand," tambahnya.