Skuad ragbi Selangor lebih selesa dengan status bukan pilihan, apatah lagi ketiadaan pemain bertaraf bintang, untuk menghadapi Kejohanan Ragbi Piala Agong 2018 yang membuka tirai Sabtu ini.

Selepas tidak mengambil bahagian dalam edisi 2017, saingan kali ini menyaksikan Selangor menampilkan 80 peratus muka baru.

Pemilihan dilakukan menerusi saingan Liga Selangor selain beberapa pemain dari negeri lain yang turut memperkuatkan pasukan dengan sandaran sepenuhnya kepada tenaga tempatan.

Pengurus pasukan, Shahizam Tukiran, berpandangan status bukan pilihan amat bersesuaian di sebalik reputasi Selangor yang merupakan juara enam kali kejohanan itu.

"Kami memiliki 40 pemain yang bakal didaftarkan dalam saingan Piala Agong kali ini," kata Shahizam.

"Selangor adalah pasukan bukan pilihan dalam kejohanan, kami akan berusaha untuk memberikan saingan.

Ketiadaan Selangor dalam edisi 2017 menyaksikan mereka terpaksa bermain dalam divisyen dua bagi kempen kali ini.

Mereka ditempatkan dalam Kumpulan A bersama Pulau Pinang serta Perlis dan Shahizam menjelaskan matlamat awal sudah pasti untuk menjuarai divisyen dua terlebih dahulu sebelum fokus kepada gelaran utama.

"Kami berharap pasukan ini kekal kompetitif dan pemain-pemain baru dalam pasukan dapat menimba pengalaman sebanyak mungkin untuk mengharungi saingan akan datang."