Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meneruskan rentak cemerlangnya apabila membenam Perak 27-5 untuk merakamkan kemenangan kedua dalam kempen Kejohanan Ragbi Piala Agong Divisyen Satu di Ipoh, semalam.

Begitupun, bekas gergasi ragbi negara itu terpaksa mengerah kudrat dan menggunakan segala pengalaman sebelum dapat menjinakkan tuan rumah dalam perlawanan di Stadium Ragbi Perak itu.

ATM merobekkan kubu Perak selepas 11 minit perlawanan berlangsung melalui try Anare Tiveta, diikuti try oleh Atunasia Livanalagi pada minit ke-25.

Perak bangkit garang dalam babak kedua dan memberi cabaran kepada pelawat yang terpaksa bertahan lama.

Usaha Perak akhirnya berjaya apabila Muhammad Aidid Abdul Razak membuat try pada minit ke-59.

Bagaimanapun, seminit kemudian, kealpaan benteng Perak dihukum apabila Pio Tuwai mudah melakukan try dan Rostam Tugiman berjaya membuat conversion untuk ATM mendahului 17-5.

ATM bertambah selesa apabila Rosman menyepak masuk sepakan penalti pada minit ke-70 sebelum pemain gantian, Abdul Qayyum Hafizuddin Abdul Rahman, melakukan try dan Rostam menambah mata untuk kemenangan bergaya 27-5 untuk mereka mendahului kategori itu.

Sementara itu, Kuala Lumpur menghidupkan sisa peluang dengan mengatasi Negeri Sembilan 25-20 dalam perlawanan di Padang Kolej Tuanku Jaafar, Mantin.