Ragbi Piala Agong 2018 platform bentuk skuad kebangsaan

Oleh Bernama 3 Oktober 2018 125
Ragbi Piala Agong 2018 platform bentuk skuad kebangsaan
Kejohanan Ragbi Piala Agong 2018 yang akan bermula Sabtu ini menjadi platform terbaik buat Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) membuat persiapan dalam menyediakan pasukan kebangsaan menjelang saingan divisyen premier Kejuaraan Ragbi Asia (ARC) 2019.

Pengarah pertandingan, Fahmy Jalil, berkata kejohanan 15 pasukan yang terdiri daripada pasukan negeri dan kelab itu adalah satu proses pemilihan awal pemain yang akan membawa cabaran negara di pentas divisyen premier ARC 2019.

“Kejohanan Ragbi Piala Agong 2018 adalah proses awal dalam membentuk skuad kebangsaan terbaik untuk bertanding dalam divisyen premier ARC tahun depan di mana kita akan bersaing bersama-sama pasukan handalan Asia seperti Korea Selatan dan Hong Kong.

“Selepas kita merasai tahap kesukaran ketika beraksi dalam saingan divisyen premier ARC tahun ini, kejohanan ini akan turut berperanan membantu pasukan kebangsaan dalam membuat persiapan rapi ke divisyen premier ARC 2019,” katanya dalam sidang media kejohanan itu di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata format pertandingan yang memasuki edisi ke-36 itu turut diberi nafas baru dengan memperkenalkan tiga divisyen, iaitu premier, divisyen satu dan divisyen dua yang mengikut standard ARC sebagai usaha memberi pendedahan serta gambaran jelas kepada semua pemain.

“Tengok pada pencapaian Malaysia dalam divisyen premier ARC tahun ini, kita seolah-olah terkejut dengan tahap persaingannya kerana kejuaraan itu adalah satu peringkat yang sangat berbeza. Jadi sebab itu juga kami meniru format pertandingan supaya ia akan memberi impak kepada prestasi skuad negara,” katanya.

Malaysia yang beraksi buat julung kali di pentas divisyen premier ARC 2018 menamatkan kejuaraan  di kedudukan tercorot di belakang juara, Hong Kong, dan Korea Selatan selepas tewas dalam keempat-empat aksi.

Sementara itu, berkongsi pandangan yang sama adalah ketua jurulatih skuad ragbi 15 sepasukan negara, Lee Nyuk Fah, yang menyifatkan kehadiran pemain import dalam saingan Piala Agong 2018 akan membantu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti.

“Dengan kuota empat pemain import diberikan kepada setiap pasukan yang bertanding, ia jelas akan memberi kesan positif kepada kejohanan ini dan dapat meningkatkan mutu permainan pemain tempatan,” jelasnya.

Juara Kejohanan Rabgi Piala Agong 2018 akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 sementara naib juara (RM10,000), ketiga (RM7,000) dan keempat RM5,000.

-- BERNAMA
 

Tentang Penulis

Bernama

Komen