Jurulatih pasukan ragbi kebangsaan, Lee Nyuk Fah, menyambut baik cadangan agar pasukannya dapat menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil bagi Kejohanan Ragbi Perdana Asia tahun depan.

Kejohanan itu akan menjadi tugasan terbesar buat skuad 15 sepasukan negara, dengan juara mempunyai peluang ke saingan play-off Piala Dunia 2019 di Jepun.

Lantaran itu, satu persiapan rapi perlu dilakukan dan ini termasuk gelanggang pertandingan apabila Malaysia menjadi tuan rumah kepada Hong Kong dan Korea Selatan.

Difahamkan, cadangan menggunakan Stadium Bukit Jalil telahpun diusulkan kepada Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) bulan lalu dan Nyuk Fah yang juga bekas pemain kebangsaan berharap ia dapat direalisasikan.

"Ia adalah satu mimpi yang menjadi kenyaataan bagi warga ragbi kerana peminat boleh menyaksikan perlawanan di dalam stadium yang besar. Ia secara tidak langsung memberikan impak besar kepada ragbi tempatan dan antarabangsa," katanya.

Walaupun stadium itu tidak pernah menganjurkan sebarang perlawanan ragbi sebelum ini, Nyuk Fah yakin dimensi serta permukaan padangnya menepati piawaian yang ditetapkan Kesatuan Ragbi Dunia.

"Ada keperluan minimum yang perlu diikuti, panjang dan lebar sesebuah padang. Selagi kita memenuhi minimum syarat panjang dan lebar, saya rasa kita tidak akan mempunyai masalah," katanya.