Ragbi: KRM enggan terburu-buru mulakan latihan

Oleh Muzaffar Musa 14 Jun 2020 64
Ragbi: KRM enggan terburu-buru mulakan latihan
Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) enggan terburu-buru dalam menjadualkan semula sesi latihan skuad negara dan mahu meneliti setiap prosedur operasi standard (SOP) demi memastikan keselamatan pemain.

KRM akan mengadakan satu mesyuarat bersama exco badan induk itu esok bagi membincangkan SOP berkenaan.

Namun, sesi latihan itu hanya untuk meningkatkan kecergasan pemain sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) sehingga penghujung Ogos depan.

Dalam satu tembual bersama wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya, berkata: "Contohnya, kami tidak mahu nanti muncul pula kluster ragbi. Saya rasa ia perkara terakhir yang kami mahukan.

"Oleh kerana itu, kami tidak akan terburu-buru dan tergesa-gesa (untuk memulakan latihan), dan akan mengkaji dan bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk memikirkan apa yang terbaik untuk kami bergerak ke depan."
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen