Perlawanan di antara Perancis dan Scotland dalam Kejohanan Ragbi Enam Negara di Paris terpaksa ditunda berikutan penularan koronavirus dalam skuad tuan rumah itu.

Semalam diumumkan bahawa pasukan Perancis terpaksa membatalkan sesi latihan mereka di Stade de France berikutan terdapat peningkatan kes COVID-19.

24 jam sebelum itu, penganjur kejohanan berkenaan berkata perlawanan itu akan tetap dijalankan pada jadual asal Ahad ini.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, jurucakap Kejohanan Enam Negara mengesahkan kepada Stats Perform News bahawa perlawanan itu tidak akan diteruskan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kejohanan itu, seperti yang dilaporkan Guardian, berkata: "Kumpulan Pengawasan Ujian (TOG) Kejohanan Enam Negara telah mengadakan mesyuarat hari ini bagi menilai situasi dalam kem Perancis.

"Mereka sebulat suara mengesyorkan agar perlawanan Perancis lawan Scotland ditunda. Ia kemudian disahkan oleh Majlis Kejohanan Enam Negara.

"Kami akan berusaha menjadualkan semula perlawanan ini dan akan mengumumkan tarikhnya bergantung kepada keadaan semasa."