Skuad Cobra mempunyai peluang cerah untuk menamatkan kemarau 10 tahun apabila juara bertahan dari Fiji, Daveta, sah tidak menyertai Kejohanan Ragbi Cobra 10 Sepasukan Edisi Ke-49.

Cobra merupakan antara kelab tertua berdaftar di Malaysia tetapi kali terakhir merangkul kejuaraan tersebut pada 2008.

Dalam edisi kali ini, peluang skuad yang berpangkalan di Petaling Jaya itu dilihat cerah apabila Devata disahkan tidak bertanding, namun Cobra masih berdepan pencabar kuat, iaitu pasukan dari Afrika Selatan, West Coast Sharks.

"Berbanding edisi lalu, tahun ini kami mahu bertanding dan muncul juara. Ada tiga pasukan dari Afrika Selatan dan mereka telah memberitahu kami bahawa jika kami tidak menyediakan pasukan yang betul, tiada peluang untuk menang," kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kejohanan Ragbi Cobra 10 Sepasukan, Tan Sri Krishnan Tan.

Edisi kali ini ini akan menyaksikan penampilan 12 pasukan, termasuk lapan pencabar dari luar negara, antaranya dari Australia, New Zealand dan Afrika Selatan.

Kejohanan tersebut bakal berlangsung pada 9 dan 10 November ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.