Juara Kejohanann Ragbi Cobra 10s kekal milik wakil dari Fiji, Kelab Ragbi Daveta, selepas final di Stadium MBPJ, Kelana Jaya hari ini terpaksa dibatalkan akibat petir.

Perlawanan akhir penentuan kategori Champion Cup mempertemukan juara bertahan, Daveta, dan Global Barbarians, selepas dua pasukan itu mengungguli peringkat kumpulan dan separuh akhir.

Bagaimanapun, perlawanan akhir yang baru memasuki minit-minit awal permainan terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan.

"Mengikut peraturan perlawanan, pasukan yang meraih mata tertinggi akan diangkat sebagai pemenang," kata pengarah teknikal kejohanan, Tan Sri Krishnan Tan.

Daveta, yang mengumpul 140 mata keseluruhan dari peringkat kumpulan hingga ke separuh akhir, dinobat selaku juara manakala Global Barbarians dari New Zealand yang mengumpul 59 mata muncul naib juara.