Persiapan lebih baik kali ini menjadi sandaran buat pasukan Cobra untuk mencipta kejayaan dalam Kejohanan Ragbi Cobra 10s di Padang Astaka, Petaling Jaya, hujung minggu ini.

Memasuki edisi ke-46 kejohanan, Cobra membariskan skuad yang lebih berpengalaman, khususnya dengan bantuan pemain dari New Zealand, Aleki Morris.

Pemain berusia 22 tahun itu berkata penampilan keduanya bersama Cobra kali ini menyaksikan skuad yang mantap susulan beberapa pertandingan yang diharungi sebelum ini.

"Persiapan seluruh pasukan amat baik ketika ini, kami cepat serasi dan mengenali corak permainan satu sama lain.

"Kami kembali tahun ini dengan pemain yang lebih berbakat dan juga mempunyai fizikal yang lebih besar. Saya berminat untuk melihat perubahan daripada pasukan tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pemain Cobra, Mohd Amin Jamaluddin, menjangkakan pasukan tempatan juga mampu memberi saingan lebih hebat dalam kejohanan ini.

Beliau berkata, ini peluang terbaik buat Cobra menebus kehampaan selepas kecundang kepada Silver Gaurus dalam aksi final Kejohanan Ragbi Taiping 10s, kelmarin.

Tujuh pasukan tempatan dan sembilan pasukan antarabangsa mengambil bahagian dalam Ragbi Cobra 10s, 12-13 November ini.

Ia lebih sengit dengan kehadiran beberapa pasukan utama seperti Duka Old Boys dari Afrika Selatan serta Charis Rugby yang mewakili Australia.

Dalam kejohanan tahun lalu, Penguins International muncul juara selepas menewaskan Kelab Sukan DBKL 27-21.

Pasukan bertanding:

Tempatan
1. Borneo Eagles
2. Cobra Rugby Club
3. Kelab Sukan DBKL
4. NS Wanderers
5. Panthers Blowpipes
6. Silver Gaurus
7. SSTMI Tsunami Eagles

Antarabangsa
1. Charis Rugby
2. Duka Old Boys
3. Eden Rugby Club
4. Global Lions
5. Northens Northlink Rugby Club (Nnk)
6. NS Silverback
7. Penguins International
8. SA Tigers
9. Singapore Barbarians