Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) sedang memperincikan cadangan untuk menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai venue Kejohanan Ragbi Asia Perdana pada April tahun depan.

Pengurus Besar KRM, Mazuri Sallehudin, menjelaskan badan itu telah meneliti beberapa aspek bagi memastikan kejohanan itu dapat diadakan di stadium tersebut.

Katanya, andai segala-galanya mengikut perancangan, ia akan menjadi satu detik bersejarah kerana gelanggang itu tidak pernah menganjurkan perlawanan ragbi sebelum ini.

Jelasnya, KRM menerusi Pengarah Pertandingannya, Fahmi Jalil, akan mengadakan lawatan rasmi ke venue itu pada pertengahan bulan depan.

"Perbincangan awal dan lawatan ke venue, kami akan adakan pada 18 Disember ini bagi melihat apa keperluan Ragbi Asia, termasuk syarat-syarat yang perlu kami patuhi berkenaan stadium itu.

"Ia juga untuk membincangkan dengan lebih lanjut mengenai perbelanjaan yang ditanggung oleh pihak persatuan," katanya.

Dalam pada itu, KRM akan mengatur beberapa siri perlawanan persahabatan buat skuad negara yang kini dalam persediaan fasa dua bagi menghadapi Kejohanan Asia Perdana.

Tambah Mazuri, skuad kendalian Lee Nyuk Fah itu akan menamatkan program kecergasan serta pemantapan fizikal bersama Institut Sukan Negara (ISN) minggu ini sebelum memberi tumpuan terhadap aspek taktikal.

"Perlawana ujian pertama pasukan kebangsaan menentang KL Tigers akan berlangsung pada 9 Disember.

"Selain daripada itu, kami juga ada perancangan untuk perlawanan ujian antarabangsa tetapi ia akan diadakan pada Mac," ujarnya.

Sekiranya dapat melepasi cabaran Hong Kong dan Korea Selatan dalam kejohanan tersebut, skuad negara akan mara ke saingan playoff untuk ke Piala Dunia 2019 di Jepun.

Jadual perlawanan Malaysia

28 April 2018
Malaysia lwn Korea Selatan

5 Mei 2018
Malaysia lwn Hong Kong

12 Mei 2018
Korea Selatan lwn Malaysia

19 Mei 2018
Hong Kong lwn Malaysia