Kelebihan selaku tuan rumah melonjakkan semangat skuad ragbi B-18 negara untuk memperbaiki pencapaian menjelang Kejohanan Ragbi Asia di Johor Bahru, hujung minggu ini.

Tahun lalu di Taiwan, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan daripada 10 pasukan yang mengambil bahagian.

Ketika itu, umur pemain dihadkan kepada B-17 kerana ia sebahagian pusingan kelayakan untuk Sukan Olimpik Remaja Buenos Aires 2018.

Mengekalkan lima pemain daripada skuad berkenaan, ketua jurulatih, Md Baharuddin Mahani, percaya Malaysia mampu meraih pencapaian lebih baik kali ini.

Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) meletakkan sasaran untuk skuad negara sekurang-kurangnya menamatkan saingan dalam kelompok dua teratas.

"Prestasi pasukan ini semakin meningkat.

"Kami menamatkan saingan di tempat keempat dalam kejohanan di Taiwan, tahun lalu.

"Kami juga muncul naib juara semasa menyertai Kejohanan Sukan Paris Dunia tahun lalu," kata Baharuddin.

Sementara itu, kapten skuad negara, Mohamad Firdaus Zahed, yakin kelebihan bermain di laman sendiri dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh rakan sepasukan.

Juara kejohanan bakal memasuki pusingan repechage untuk kelayakan Piala Dunia B-20 di Argentina tahun hadapan.

"Kehadiran penyokong pasti akan sangat membantu kami. Inilah kelebihan tuan rumah dalam cabaran Ragbi Asia kali ini.

"Tidak banyak perbezaan dalam setiap pasukan memandangkan peningkatan setahun sahaja.

"Oleh itu, rata-rata pemain yang bakal membarisi kejohanan kali ini adalah tonggak yang hampir serupa," kata Firdaus.