Sukan ragbi bercita-cita untuk meletakkan Malaysia di pentas dunia dengan merangka pelan membida Kejohanan Ragbi Siri Dunia Tujuh Sepasukan (World Seven Series) bagi edisi 2020 hingga 2023, demikian disahkan Pengurus Besar Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU), Mazuri Sallehudin.

Perbincangan serius sudah dijalankan dalam kalangan ahli jawatankuasa dan MRU bakal menghantar permohonan bidaan kejohanan selewat-lewatnya 28 Februari depan.

MRU sempat menjelaskan bahawa mereka perlu memaklumkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Pesuruhjaya Sukan Malaysia mengenai niat menganjurkan kejohanan bertaraf dunia itu.

"Badan induk, Ragbi Dunia, akan meneliti infrastruktur, penyiaran, kemudahan-kemudahan asas dalam Siri Dunia, termasuk kemudahan untuk peminat datang ke venue kejohanan," kata Mazuri.

Baginya, walaupun tiada slot automatik ditawarkan jika Malaysia menjadi tuan rumah, Malaysia tetap beruntung kerana dapat menyaksikan lambakan pemain ternama dunia beraksi.

Mendiang Jonah Lomu -- bekas pemain All Blacks New Zealand -- pernah membuat penampilan ketika kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah pada 2001.

"Kita akan dapat membawa pasukan ternama seperti New Zealand dan Fiji agar peminat di sini boleh menyaksikan sendiri kehebatan mereka.

"Kalau sebelum ini, paling dekat untuk melihat aksi mereka adalah di Singapura," tambah Mazuri lagi.