Sekolah Menengah Sains Hulu Langat, Selangor (Semashur) muncul juara Kejohanan Ragbi 10's B-15 Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) setelah menewaskan Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, Kedah (Saina) 15-0 dalam aksi akhir di Padang Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh, semalam

Sebelum itu, Semashur mengetepikan Sek Men Datuk Abdul Razak (SDAR) manakala Saina menundukkan Sek Men Sultan Alam Shah (SAS) dalam separuh akhir.

Mohd Najmuddin Norhisham muncul wira Semashur apabila melakukan dua try sebelum Asrul Idham Asri melengkapkan penguasaan 15-0.

Walaupun Saina cuba memberi saingan, mereka tidak berupaya merobek kekebalan benteng pasukan bimbingan jurulatih Mohd Soleh Abd Hamid dan Mohd Huzairi Mohd Sani itu.

SAS menebus kehampaan mereka dengan menumpaskan SDAR 17-0 untuk menduduki tempat ketiga.

Sementara itu, dalam kategori lain, Sek Men Keb King Edward 7 (KE) Taiping, muncul juara 'Plate' selepas kejayaan 21-7 menundukkan Maktab Sultan Abu Bakar (EC) Johor manakala Sek Men Keb Sultan Sulaiman Kuala Terengganu pula muncul juara 'Bowl' selepas mengatasi MRSM Kuala Terengganu 10-5.

Kejohanan ini disertai 32 buah sekolah.