Atlet boling tenpin lelaki negara, Rafiq Ismail, mahu kemarau pingat buat negara di pentas Kejohanan Dunia berakhir di Hong Kong selepas kecewa dalam dua kejohanan sebelum ini di Amerika Syarikat.

Ini adalah penampilan ketiga Rafiq dalam Kejohanan Dunia selepas penyertaan pada 2013 dan 2017 berakhir tanpa sumbangan pingat.

Mendapat tonik terbaik menerusi kejayaan bersejarah emas Masters dalam Sukan Asia 2018, Rafiq kini tiada lagi alasan gagal menyumbang pingat di Hong Kong, menepati sasaran Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) untuk acara trio dan berpasukan.

"Saya mampu meraih kemenangan, sama seperti atlet lain juga. Saya berharap dapat membawa pulang pingat dalam penampilan ketiga dalam Kejohanan Dunia," kata Rafiq.

Rafiq kembali berlatih bersama pasukan hari ini selepas pulang daripada Terbuka Amerika Syarikat, kelmarin.

Ternyata dia belum puas apabila menamatkan aksi di kedudukan ke-34 secara keseluruhan.

"Ia merupakan kejohanan yang berbeza dan saya berharap ia akan membantu meningkatkan lagi prestasi saya pada masa akan datang."