Juara Boling Tenpin Dunia 2018, Rafiq Ismail, menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu kejuaraan Persatuan Pemain-Pemain Boling Profesional (PBA), tahun depan.

Rafiq muncul juara acara perseorangan Kejohanan Boling Tenpin Dunia di Hong Kong, awal bulan ini.

Baginya, ia belum cukup memuaskan hati memandangkan dia terlepas anugerah Muka Baru Tahunan Terbaik PBA tahun ini ekoran kekurangan kejohanan yang disertai.

Rafiq menjelaskan perkara itu dalam satu temu bual Nadi@1 di saluran Astro Arena, sebentar tadi.

"Saya mahu meraih sekurang-kurangnya satu gelaran PBA, tahun depan.

"Saya disenaraipendekkan dalam perebutan anugerah Muka Baru Tahunan Terbaik PBA tahun ini, namun ia tidak berjaya memandangkan saya kekurangan aksi di peringkat kompetitif.

"Saya berharap untuk bertanding lebih banyak lagi dalam acara PBA tahun depan dan meraih sekurang-kurangnya satu kejuaraan," katanya.