Pemain boling lelaki negara, Mohamad Rafiq Ismail, mencipta sejarah apabila muncul juara acara perseorangan dengan meraih pingat emas dalam Kejohanan Dunia di Hong Kong, sebentar tadi.

Rafiq melangkah ke perlawanan akhir acara perseorangan selepas menundukkan pemain Amerika Syarikat, Kyle Troup, 171 berbalas 170 jatuhan pin.

Dalam perlawanan akhir, Rafiq bertemu Dan Maclelland dari Kanada dan tampak melalui permulaan agak perlahan dalam tiga frame pertama sehingga memberikan lawan mendahului.

Bagaimanapun, Rafiq bangkit selepas itu dan mula meninggalkan lawannya bermula daripada frame kelima.

Rafiq terus konsisten untuk menamatkan saingan dengan 217 jatuhan pin manakala Maclelland hanya mengutip 204 jatuhan pin.

Kejayaan itu merupakan kejuaraan pertama Rafiq di peringkat tertinggi tahun ini selepas memenangi acara masters lelaki Sukan Asia Indonesia, Ogos lalu.

"Saya sangat gembira. Terima kasih kepada jurulatih kerana menemani saya di sepanjang kejohanan, juga buat ibu-bapa serta penyokong saya. Kejayaan menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik langsung tidak dijangka.

"Saya hanya memberitahu diri saya untuk meneruskan kecemerlangan."