Rafiq Ismail nyata kecewa apabila skuad boling tenpin lelaki negara pulang dengan tangan kosong dari Kejohanan Boling Tenpin Dunia di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS).

Ini merupakan penampilan kedua Rafiq di pentas Kejohanan Dunia, namun kegagalan meraih sebarang pingat cukup memberi kehampaan kepadanya.

Bagaimanapun, kebangkitan skuad wanita untuk menghadiahkan emas kepada negara sedikit-sebanyak mengubati kekecewaan mereka untuk turut sama menikmati kejayaan manis itu.

"Saya ke Amerika Syarikat untuk mengikuti dua kejohanan (Final Jelajah Boling Dunia - WBT) dan Kejohanan Dunia). Namun, saya gagal menghadirkan persembahan terbaik dalam Kejohanan Dunia yang menjadi keutamaan.

"Ini Kejohanan Dunia kedua yang saya sertai selepas 2013 di Mexico. Dua kali gagal memenangi pingat mengecewakan saya. Begitupun, saya gembira dengan pencapaian skuad wanita," kata pemenang tiga pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur itu.

Gandingan Shalin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan pulang dari AS dengan menamatkan penantian selama 10 tahun untuk memenangi emas menerusi acara berpasukan wanita.