Jaguh boling negara, Muhammad Rafiq Ismail tidak mahu mewujudkan rasa gementar dengan memikirkan mengenai kejohanan terdekat selepas arena sukan dunia 'lumpuh' ekoran pandemik COVID-19.

Juara dunia perseorangan lelaki itu berkata beliau hanya mahu menumpukan perhatian terhadap latihan terutamanya memperbaiki teknik melepaskan bola serta pusingan bola boling.

"Bagi saya ketiadaan kejohanan disebabkan COVID-19 ada baik dan buruknya. Contoh keburukan seperti perasaan macam mana mahu hadapi kejohanan semula selepas lama tidak sertai manakala kebaikan daripada ketiadaan kejohanan pula ialah kita ada masa yang lebih untuk perbaiki kelemahan sebelum ini.

"Jurulatih pun ada cakap tadi, ini merupakan masa terbaik untuk pemain mencuba teknik baharu atau perbaiki kelemahan yang ada," kata atlet berusia 23 tahun itu kepada Bernama, hari ini.

Skuad tenpin boling negara memulakan latihan bermula hari ini di Sunway Mega Lanes selepas terpaksa 'berehat' selama tiga bulan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

Muhammad Rafiq yang berasa teruja selepas dibenarkan untuk menjalani latihan semula mengakui agak kekok untuk membuat balingan bola selepas tiga bulan tanpa latihan.

Bukan itu sahaja, pergelangan tangan serta jarinya juga turut merasa sakit susulan tidak bermain boling dalam tempoh yang lama.

"Ini cuti paling lama bagi saya. Sebelum ini masa mengalami kecederaan pun dalam dua bulan sahaja saya berehat. Memang kalau lama tidak main boling, akan ada rasa sakit pada pergelangan tangan, begitu juga jari.

"Kulit keras di ibu jari sebab rutin berterusan main boling juga sudah lembut. Kulit keras itu penting untuk kami pemain boling, jika tidak memang rasa sakit sehingga boleh menyebabkan luka. Saya rasa sekurang-kurangnya perlu dua minggu untuk kulit jari saya kembali seperti sediakala," katanya.

Menjelaskan mengenai latihan pertama hari ini, Muhammad Rafiq berkata atlet mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti hanya seorang atlet dibenarkan membuat latihan di lorong berbanding sebelum ini dua lorong dikongsi dengan tiga atlet.

Selain daripada itu, pemain juga diminta untuk mengikut giliran membuat balingan dan tidak dibenarkan lebih daripada seorang atlet berada di kawasan lorong atau membuat balingan secara serentak.

-- BERNAMA