Atlet lompat jauh T20, Siti Noor Radhiah Ismail, mendedahkan rasa tidak selesanya dengan pilihan ahli fisiologi daripada Institut Sukan Negara (ISN) dalam Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Dubai baru-baru ini.

Radhiah sekali lagi hampa selepas saingan yang sama di London juga menyaksikan kegagalannya membawa pulang sebarang pingat, namun kali ini ia dilihat berbekalkan alasan.

Tanpa kelibat ahli fisiologi wanita dalam temasya itu, dia mengakui tidak selesa untuk mendapatkan sebarang rawatan mengikut keperluan sepanjang kejohanan berlangsung.

"Saya atlet wanita, jadi untuk dapatkan bantuan rawatan itu susah, berbeza dengan atlet lelaki. Untuk cari individu yang boleh bantu saya agak sukar kerana ahli fisiologi yang ada adalah lelaki. Takkan saya perlu berjumpa lelaki untuk dapatkan urutan," katanya.

Radhiah mengalami penurunan prestasi mendadak dengan sekadar menduduki tempat kesembilan daripada 12 peserta yang bertanding di Dubai.

Bagaimanapun, pemegang pingat gangsa Sukan Paralimpik Rio 2016 dan perak dalam Sukan Para Asia 2018 itu memberi jaminan akan mara ke Tokyo 2020 dan bukan angan-angan kosong.

"Saya ada sedikit kecederaan buku lali, belakang dan lutut. Keadaan memang tidak memuaskan."