Usia menjadi antara faktor utama yang dijelaskan Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Rachel Lau, mengenai punca ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, memilih untuk tidak berlatih di Amerika Syarikat.

Berbaki tujuh bulan sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020, MGF masih runsing memikirkan persiapan buat gimnas negara, Farah Ann, untuk menghadapi temasya itu

Sebelum ini, badan induk itu membuat perancangan menghantar atlet berusia 25 tahun itu ke Amerika Syarikat sebagai persediaan ke temasya yang bermula dari 24 Julai hingga 9 Ogos depan, namun Farah Ann berhasrat menjalani persiapan di tanah air sehingga menyebabkan MGF buntu.

Antara faktor yang menyebabkan dia memilih untuk menjalani persiapan di tanah air berbanding di luar negara adalah disebabkan usianya.

"Dia fikir lebih berusia berbanding kebanyakan gimnas ketika ini. Dia bakal memasuki usia 26 tahun pada 2020. Dalam masa sama, tubuhnya tidak mampu menanggung latihan keras di Amerika Syarikat. Saya faham dia mahu memastikan dirinya bebas daripada sebarang kecederaan," kata Rachel.

Selain itu, MGF masih mempunyai misi untuk sekurang-kurangnya melayakkan dua lagi gimnas negara ke Olimpik walaupun berbaki hanya tujuh bulan.

"MGF bercadang untuk cuba melayakkan dua lagi gimnas, Tan Fu Jie, daripada pasukan gimnastik artistik lelaki dan Tan Ing Yueh. Ia bukan sahaja untuk 2020 tetapi demi perancangan jangka panjang."


Editor: Nafis Abdullah